Nama sebenarnya Hamzah bin Abdul Muthalib bin Hasyim,
seorang paman Nabi dan saudara sepersusuannya. Dia memeluk Islam pada tahun
kedua kenabian, Ia Ikut Hijrah bersama Rasulullah shallallahu alaihi wassalam
dan ikut dalam perang Badar, dan meninggal pada saat perang Uhud, Rasulullah
menjulukinya dengan “Asadullah” (Singa Allah) dan menamainya sebagai “Sayidus
Syuhada”.
Kisah Saidina Hamzah R.A Asadullah (Singa Allah) memeluk
Islam bertitik tolak daripada derita.
Derita umat Islam amnya, dan Nabi Muhammad S.A.W. khasnya.
Suatu hari, sedang Hamzah baru tiba dari sesi perburuannya,
seorang hamba perempuan mendekatinya,
"Wahai Hamzah, tahukah kamu apa yang telah Abu Jahal
lakukan terhadap anak saudaramu Muhammad?"
"Apa yang telah berlaku?"
"Abu Jahal mencela dan menyakiti Muhammad. Sekarang
ini. Di Baitullah."
Hamzah menjadi marah. Anak saudaranya disakiti. Dia terus
mencari Abu Jahal.
Di tepi kaabah, Abu Jahal masih lagi mencela, mencaci dan
menyakiti Rasulullah S.A.W. Sesampainya Hamzah di sana, dia terus menolak Abu
Jahal jauh daripada Rasulullah S.A.W. Dengan busur panah di tangannya,
dilibasnya kepala Abu Jahal. Luka. Membuak-buak darah keluar. Abu Jahal jatuh.
"Berani engkau menyakiti Muhammad? Sedangkan aku berada
di atas agamanya??!!"
Hamzah belumpun Islam pada ketika itu!!
Selepas itu barulah Hamzah pergi menemui Nabi Muhammad
S.A.W. dan mengucap asy-syahadatain.
Imam Bukhari menukilkan dari Ja’far bin Amar bin Umaiyyah ad
Dhamri dia berkata, “Saya telah berangkat untuk satu perjalanan dengan
Ubaidullah bin Adiy bin al Khiyar. Bila kami sampai di Hims, Ubaidullah bin Adi
bertanya kepada saya, “Mahukah engkau berjumpa dengan Wahsyi? Boleh kita tanya
kepadanya tentang pembunuhan Sayyidina Hamzah”. Saya berkata, “Tentu sekali”.
Pada hari-hari itu Wahsyi menetap di Hims. Kami bertanya
seseorang, “Di mana rumah Wahsyi?”. Orang itu menceritakan, “Itu dia Wahsyi
sedang duduk di bawah naungan (bayang) rumahnya. Bila kami ternampak dia dalam
rupanya yang gemuk dan tidak berambut itu tak ubah seperti sebuah gereba. Kami
berdiri sejenak setelah sampai di hadapannya lalu kami memberi salam kepadanya.
Beliau menjawab salam kami. Perawi berkata, “Ketika itu Ubaidullah bin Adi bin
al Khiyar menutup muka dan kepalanya dengan serban. Wahsyi tidak nampak apa-apa
darinya melainkan dua mata dan kakinya sahaja.
Ubaidullah pun bertanya Wahsyi, “Kamu kenalkah siapa saya?”.
Wahsyi mengangkat pandangannya ke arah Ubaiullah, kemudian dia berkata, “Demi
Allah, Tidak! Ya, Cuma saya tahu bahawa Adi bin Al Khiyar telah berkahwin
dengan seorang perempuan dipanggil Ummul Qital binti Abi al-‘Is. Dengannya Adi
bin Al Khiyar telah mendapat seorang anak lelaki. Sayalah yang telah mencari
seorang pengasuh untuk anaknya itu dan saya dengan ibunya membawakan anak itu
untuk diserahkan kepada pengasuh tersebut. Sekarang saya sedang memerhatikan
kaki awak. Saya rasa engkaulah anak itu”. Ubaidullah pun mengalihkan kain dari
mukanya. Dia bertanya Wahsyi, “Bolehkah kamu ceritakan kepada kami tentang
pembunuhan Hamzah?”. Wahsyi menjawab, “Ya, tentu boleh. Ceritanya begini :
Hamzah telah membunuh Thu’aimah bin Adi bin Al Khiyar dalam peperangan Badar.
Tuan saya Jubair Bin Mut’im berkata kepada saya, “Kalau engkau dapat membunuh
Hamzah, engkau merdeka”.
Bila saya keluar untuk berperang pada tahun ‘Ainain’ (Ainain
ialah salah satu bukit di Uhud, di hadapannya terletak Wadi Uhud), saya juga
keluar bersama orang lain untuk berperang. Bila masing-masing pasukan telah
membetulkan saf, maka Siba’ bin Abdul Uzza pun tampil kehadapan seraya berkata,
“Adakah sesiapa yang akan berlawan?”. Wahsyi menceritakan, “Dari kalangan pihak
lawan, Hamzah bin Abdul Muthalib tampil kehadapan seraya berkata, “Oh Siba’!Oh
anak Ummu Anmar! Mudim anak-anak perempuan, adakah engkau memerangi Allah dan
Rasulnya?”. Kemudian dengan pantas Hamzah menyerang lalu dia (Siba’) menjadi
seperti kelmarin yang telah berlalu (terus mati). Wahsyi berkata, “Saya ketika itu
bersembunyi di sebalik satu batu besar sambil mengintai-intai Hamzah. Bila dia
lalu dekat saya, terus saya membaling lembing saya ke arahnya. Lembing itu
mengenai bahagian pusatnya lalu menembusi belakangnya. Itulah pertemuan saya
yang terakhir dengannya. Bila semua orang pulang dari medan perang, saya juga
pulang bersama mereka dan terus menetap di Mekah (selepas merdeka) sehingga
Islam tersebar di sana, kemudian saya pun keluar ke ta’if”.
Bila orang Ta’if menghantarkan utusan-utusan kepada
Rasulullah s.a.w. maka ada orang berkata kepada saya, “Nabi tidak mengganggu
utusan,” kerana itu saya pun menyertai golongan utusan itu untuk mengadap Nabi
s.a.w. Bila Nabi saw melihat saya, Baginda pun bertanya, “Adakah engkau
Wahsyi?”. Saya menjawab, “Ya”. Baginda saw bertanya lagi, “Engkaukah yang telah
membunuh Hamzah?”. Saya menjawab, “Berita yang sampai kepada tuan itu adalah
benar”. Nabi saw pun bersabda, “Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari
pandanganku?”. Wahsyi berkata, “Aku pun pergi dari situ”.
Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Musailamah al Kazzab
memberontak. Saya berfikir dalam hati saya bahawa seharusnya saya keluar untuk
menentang Musailamah. Boleh jadi saya akan dapat membunuhnya dengan itu
terbalaslah (terbayarlah) pembunuhan Hamzah oleh saya. Setelah terfikir begitu
saya pun keluar bersama orang ramai untuk berperang. Tiba-tiba (dalam
peperangan) saya ternampak seorang sedang berdiri di celah tembok. Dia
kelihatan seperti unta yang kehitaman warnanya. Rambutnya berselerak. Saya
lepaskan lembing saya ke arahnya dan tepat mengenai dadanya sehingga menembusi
belakangnya. Selepas itu tampil seorang Ansar Madinah lalu menetak kepalanya.
Abdullah Bin al-FAdhl menceritakan bahawa Sulaiman bin Yasr menceritakan kepada
saya bahawa beliau mendengar Ibnu Umar berkata, “Seorang perempuan yang ketika
itu berdiri di atas bumbung rumah lantas berteriak mengatakan, “Demi Amirul
Mukminin (Musailamah al Kazzab)! Dia telah dibunuh oleh budak Habsyi.( Lihat
Sahih Bukhari jilid 2 m.s. 583)
Demikianlah kedudukan sebenar kisah ini mengikut cerita dari
mulut pembunuh Sayyidina Hamzah sendiri. Dari riwayat ini dapat disimpulkan
beberapa perkara seperti berikut ;
Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Jubair bin
Muth’imlah yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya
jika dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun
tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang
mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat memerdekakan
Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat Ibnu Ishaq sendiri pun
Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muth’im.
Gambaran Peperangan Dalam Islam
Di dalam riwayat ini juga tidak tersebut Hindun memberikan
gelang kaki, kalung dan subangnya kepada Wahsyi kerana kejayaannya membunuh
Hamzah. Bahkan Wahsyi tidak mendapat apa-apa hadiah dari sesiapa pun selain
dari hadiah kemerdekaan yang dijanjikan tuannya Jubair bin Muth’im. Sekiranya
ada, maka tidak ada sebab kenapa Wahsyi menyembunyikannya.
Asadullah(Singa Allah) |
Wahsyi ikut serta dalam peperangan Uhud dari awal hingga
akhir di pihak orang-orang kafir Quraisy dan akhir sekali beliau pulang ke
rumah bersama orang-orang lain. Di dalam riwayat Bukhari ini beliau tidak
menyebutkan cerita perempuan-perempuan membuat kalung dari anggota orang-orang
Islam yang syahid yang telah dipotong oleh mereka. Tidak ada juga beliau
menyebutkan kisah sesiapa memakan hati sesiapa. Jika diandaikan beliau tidak
melihat apa yang dilakukan oleh perempuan-perempuan Quraisy terhadap orang-orang
Islam yang mati syahid dalam peperangan Uhud itu terutamanya Hindun sekalipun
tetap berkemungkinan juga beliau mendengar cerita itu di Mekah setelah pulang
tetapi tiadanya cerita Wahsyi ini daripada perbuatan-perbuatan perempuan
tersebut menunjukkan bahawa semua itu tidak benar.
Kerana Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi
oleh Rasulullah saw, Nabi saw meminta beliau supaya tidak bersemuka dengannya.
Tetapi Jubair bin Muth’im, pada ketika pembukaan Mekah tidak pula diminta oleh
Rasulullah saw supaya tidak bersemuka dengannya seperti Wahsyi. Apa yang
dilakukan oleh Wahsyi, jika benar seperti yang didakwa oleh Ibnu Ishaq, bahawa
Hindun telah membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya – maka kelakuan itu
lebih dasyat daripada apa yang dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah, kerana
sudah lumrah dalam peperangan seseorang membunuh pihak lawannya. Tetapi adalah
sesuatu yang luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam
peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Sepatutnya
Rasulullah saw juga tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti Wahsyi
tetapi sebaliknya apabila Nabi saw menakluk Mekah, di samping Baginda saw
mengisytiharkan damai, Baginda saw juga telah mengisytiharkan nama-nama orang
yang perlu dihukum bunuh.
Pada ketika itu Hindun tidak tersenarai dalam orang-orang
yang perlu dihukum bunuh. Tidak juga Nabi saw menyatakan kebencian dan
dendamnya kepada Hindun malah sebaliknya mengisytiharkan kepada umum bahawa
sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufyan (juga merupakan rumah Hindun)
untuk menyelamatkan dirinya, dia terselamat dan mendapat keamanan.
Pengisytiharan seperti ini membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa Hindun
atau Abu Sufyan tidak terlibat sama sekali dalam pembunuhan Sayidina Hamzah apa
lagi untuk dikatakan beliau telah membelah perut Hamzah lalu memakan hatinya.
Hindun seperti juga ramai orang-orang Quraisy yang lain telah memeluk agama
Islam, selepas berbai’ah dengan Nabi saw dalam keadaan bersemuka dengan Nabi
s.a.w., beliau secara terbuka menyatakan perasaannya setelah memeluk Islam
terhadap Nabi saw. Kata beliau, “Wahai Rasulullah! Dulu tidak ada manusia yang
berkhemah di atas muka bumi ini lebih dipandang hina olehku darimu tetapi hari
ini tidak ada orang yang berkhemah di muka bumi ini lebih ku kasihi darimu.
Lihatlah bagaimana beliau menyatakan isihatinya terhadap
Nabi saw dengan bersemuka dan lihatlah pula apa jawapan Nabi saw dan bagaimana
Nabi saw menyambut kata-katanya itu. Dari kata-kata Nabi saw itu kiranya
sirnalah segala tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap
Hindun, ibu mertua Nabi saw, ibu kepada Ummu Habibah dan juga ibu kepada
Sayyidina Mu’awiyah. Baginda saw lantas bersabda, “Ya, demikian juga aku. Demi
Tuhan yang nyawaku berada ditanganNya” ( Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 539)
Ini bermakna Nabi saw juga kasih kepada Hindun seperti mana
Hindun mengasihinya. Malah untuk menyatakan kasihnya yang sungguh-sungguh itu,
Baginda saw bersumpah dengan Tuhan yang nyawanya berada ditanganNya.
(sumber : Halaqah.net)
No comments:
Post a Comment