"ORANG seperti
dia, tidak dapat tanpa diketahui dibiarkan begitu saja. Dia harus disasarkan
sebagai calon pemimpin Islam. Jika dia menggabungkan diri dengan kaum Muslimin
dalam peperangan melawan orang-orang kafir, kita harus mengangkatnya ke dalam golongan
pemimpin," demikian keterangan Nabi ketika berbicara tentang Khalid
sebelum calon pahlawan ini masuk Islam.
Khalid dilahirkan
kira-kira (1 Julai 592) iaitu 17 tahun sebelum masa pembangunan Islam. Dia
anggota suku Banu Makhzum, suatu cabang dari suku Quraisy. Ayahnya
bernama Walid dan ibunyaLababah. Khalid termasuk diantara keluarga
Nabi yang sangat dekat. Maimunah, makcik kepada Khalid, adalah isteri
Nabi. Dengan Umar sendiri pun Khalid ada hubungan keluarga, yakni
saudara sepupunya. Suatu hari pada masa kanak-kanaknya kedua saudara sepupu ini
main gusti. Khalid dapat mematahkan kaki Umar. Untunglah dengan melalui suatu
perawatan kaki Umar dapat diluruskan kembali dengan baik.
Ayah Khalid yang
bernama Walid, adalah salah seorang pemimpin yang paling berkuasa di antara
orang-orang Quraisy. Dia sangat kaya. Dia menghormati Ka'bah dengan perasaan
yang sangat mendalam. Sekali dua tahun dialah yang menyediakan kain penutup
Ka'bah. Pada masa ibadah Haji dia memberi makan dengan percuma bagi semua orang
yang datang berkumpul di Mina.
Ketika orang Quraisy
memperbaiki Ka'bah tidak seorang pun yang berani meruntuhkan dinding-dindingnya
yang tua itu. Semua orang takut kalau-kalau jatuh dan mati. Melihat suasana
begini Walid maju ke depan dengan bersenjatakan penyodok tanah sambil
berteriak, "Oh Tuhan jangan marah kepada kami. Kami berniat baik terhadap
rumahMu ".
Nabi mengharap dengan
sepenuh hati, agar Walid masuk Islam. Harapan ini timbul kerana Walid seorang
pahlawan yang berani di mata rakyat. Kerana itu dia dikagumi dan dihormati oleh
orang ramai. Jika dia telah masuk Islam ratusan orang akan mengikutinya.
Dalam hati kecilnya
Walid merasa, bahawa Al Quran itu adalah kalimah-kalimah Allah. Dia pernah
mengatakan secara jujur dan terang-terang, bahawa dia tidak boleh berpisah
dari keindahan dan kekuatan ayat-ayat suci itu.
Ucapan yang terus
terang ini memberikan harapan bagi Nabi, bahawa Walid akan segera masuk Islam.
Tetapi impian dan harapan ini tak pernah menjadi kenyataan. Kebanggaan atas
diri sendiri membendung bisikan-bisikan hati nuraninya. Dia takut kehilangan
kedudukannya sebagai pemimpin bangsa Quraisy. Kesangsian ini menghalanginya
untuk menurutkan rayuan-rayuan hati nuraninya. Sayang sekali orang yang begini
baik, akhirnya mati sebagai orang yang bukan Islam.
Suku Banu Makhzum
mempunyai tugas-tugas penting. Jika berlaku peperangan, Banu Makhzum lah yang
menguruskan gudang senjata dan gudang tenaga tempur. Suku inilah yang
mengumpulkan kuda dan senjata bagi perajurit-perajurit.
Tidak ada cabang suku
Quraisy lain yang boleh lebih dibanggakan seperti Banu Makhzum. Ketika diadakan
kepungan maut terhadap orang-orang Islam di lembah Abu Thalib, orang-orang Banu
Makhzumlah yang pertama kali mengangkat suaranya menentang pengepungan itu.
Latihan Pertama
Kita tidak banyak
mengetahui mengenai Khalid pada masa kanak-kanaknya. Tetapi satu hal kita tahu
dengan pasti, ayah Khalid orang berada. Dia mempunyai kebun buah-buahan yang
membentang dari kota Mekah sampai ke Taif. Kekayaan ayahnya ini membuat Khalid
bebas dari kewajiban-kewajibannya.
Dia lebih bebas dan
tidak perlu belajar berdagang. Dia tidak perlu bekerja untuk menambah mata
pencarian orang tuanya. Kehidupan tanpa suatu ikatan memberi kesempatan kepada
Khalid mengikuti kegemarannya. Kegemarannya ialah bertinju dan berkelahi.
Ketika itu pekerjaan
dalam seni peperangan dianggap sebagai tanda seorang Satria. Panglima perang
bererti pemimpin besar. Kepahlawanan adalah satu hal terhormat di mata rakyat.
Ayah Khalid dan
beberapa orang bapa saudaranya adalah orang-orang yang ternama di mata rakyat.
Hal ini memberikan dorongan keras kepada Khalid untuk mendapatkan kedudukan
terhormat, seperti ayah dan bapa-bapa saudaranya. Satu-satunya permintaan
Khalid ialah agar menjadi orang yang dapat mengatasi teman-temannya di dalam
hal adu tenaga. Sebab itulah dia menceburkan dirinya ke dalam seni peperangan
dan seni bela diri. Malah mempelajari keahlian menunggang kuda, bermain pedang
dan memanah. Dia juga mencurahkan perhatiannya kedalam hal memimpin angkatan
perang. Bakat-bakatnya yang asli, ditambah dengan latihan yang keras, telah
membina Khalid menjadi seorang yang luar biasa. Kemahiran dan keberaniannya
mengagumkan setiap orang.
Pandangan yang
ditunjukkannya mengenai taktik perang menakjubkan setiap orang. Dengan jelas
orang boleh melihat, bahawa dia akan menjadi ahli dalam seni pertempuran.
Menentang Islam
Pada masa
kanak-kanaknya Khalid telah kelihatan menonjol di antara teman-temannya. Dia
telah merebut tempat istimewa dalam hati rakyat. Lama kelamaan Khalid meningkat
menjadi pemimpin suku Quraisy. Pada waktu itu orang-orang Quraisy sedang
memusuhi Islam. Mereka sangat anti dan memusuhi agama Islam dan
penganut-penganut Islam. Kepercayaan baru itu menjadi bahaya bagi kepercayaan
dan adat istiadat orang-orang Quraisy. Orang-orang Quraisy sangat mencintai
adat kebiasaannya. Sebab itu mereka mengangkat senjata untuk menggempur
orang-orang Islam. Tunas Islam harus dihancurkan sebelum tumbuh berurat
ber-berakar. Khalid sebagai pemuda Quraisy yang berani dan bersemangat berdiri
digaris paling depan dalam penggempuran terhadap kepercayaan baru ini. Hal ini
sudah wajar dan seirama dengan kehendak alam.
Sejak kecil pemuda
Khalid bertekad menjadi pahlawan Quraisy. Kesempatan ini diperolehinya dalam
pertentangan-pertentangan dengan orang-orang Islam. Untuk membuktikan bakat dan
kecekapannya ini, dia harus menonjolkan dirinya dalam segala pertempuran. Dia
harus memperlihatkan kepada sukunya kualitinya sebagai pahlawan.
Peristiwa Uhud
Kekalahan kaum Quraisy
didalam perang Badar membuat mereka jadi kegila-gilaan, kerana penyesalan dan
panas hati. Mereka merasa terhina. Rasa sombong dan kebanggaan mereka sebagai
suku Quraisy telah meluncur masuk lumpur kehinaan arang telah tercoreng di muka
orang-orang Quraisy. Mereka seolah-olah tidak boleh lagi mengangkat dirinya
dari lumpur kehinaan ini. Dengan segera mereka membuat persiapan-persiapan
untuk membalas pengalaman pahit yang terjadi di Badar.
Sebagai pemuda
Quraisy, Khalid bin Walid pun ikut merasakan pahit getirnya kekalahan itu.
Sebab itu dia ingin membalas dendam sukunya dalam peperangan Uhud. Khalid
dengan pasukannya bergerak ke Uhud dengan satu tekad menang atau mati.
Orang-orang Islam dalam pertempuran Uhud ini mengambil posisi dengan
membelakangi bukit Uhud.
Sungguhpun kedudukan
pertahanan baik, masih terdapat suatu kebimbangan. Bukit Uhud masih ada suatu
tanah genting, dimana tentera Quraisy dapat menyerbu masuk pertahanan Islam.
Untuk menjaga tanah genting ini, Nabi menempatkan 50 orang pemanah terbaik.
Nabi memerintahkan kepada mereka agar bertahan mati-matian. Dalam keadaan
bagaimana jua pun jangan sampai meninggalkan kedudukan masing-masing.
Khalid bin al-Walid
memimpin sayap kanan tentera Quraisy empat kali lebih besar jumlahnya dari
pasukan Islam. Tetapi mereka jadi ragu-ragu mengingatkan kekalahan-kekalahan
yang telah mereka alami di Badar. Kerana kekalahan ini hati mereka menjadi
kecil menghadapi keberanian orang-orang Islam.
Sungguh pun begitu
pasukan-pasukan Quraisy memulakan pertempuran dengan baik. Tetapi setelah
orang-orang Islam mulai memecahkan pertahanan mereka, mereka telah gagal untuk
mempertahankan tanah yang mereka pijak.
Kekuatannya menjadi
berpecah-pecah. Mereka lari cerai-berai. Peristiwa Badar berulang kembali di
Uhud. Saat-saat kritis sedang mengancam orang-orang Quraisy. Tetapi Khalid bin
Walid tidak goncang dan sarafnya tetap membaja. Dia mengumpulkan kembali anak
buahnya dan mencari kesempatan baik untuk melakukan pukulan yang menentukan.
Melihat orang-orang
Quraisy bercerai-berai, pemanah-pemanah yang bertugas di tanah genting tidak
tahan hati. Pasukan Islam tertarik dengan harta perang, harta yang ada pada
mayat-mayat orang-orang Quraisy. Tanpa fikir panjang akan akibatnya, sebahagian
besar pemanah-pemanah, penjaga tanah genting meninggalkan kedudukannya dan
menyerbu ke lapangan.
Pertahanan tanah
genting menjadi kosong. Khalid bin Walid dengan segera melihat kesempatan baik
ini. Dia menyerbu ke tanah genting dan mendesak masuk. Beberapa orang pemanah
yang masih tinggal diserang bersama-sama. Tanah genting dikuasai oleh pasukan
Khalid dan mereka menjadi bebas untuk menggempur pasukan Islam dari belakang.
Dengan kelajuan yang
tiada ada taranya Khalid masuk dari garis belakang dan menggempur orang Islam
dipusat pertahanannya. Melihat Khalid telah masuk melalui tanah genting,
orang-orang Quraisy yang telah lari bercerai-berai berkumpul kembali dan
mengikuti jejak Khalid menyerbu dari belakang. Pemenang-pemenang antara
beberapa minit yang lalu, sekarang telah terkepung lagi dari segenap penjuru,
dan situasi mereka menjadi gawat.
Khalid bin Walid telah
mengubah kemenangan orang Islam di Uhud menjadi suatu kehancuran. Sepatutnya
orang-orang Quraisy lah yang kalah dan bercerai-berai. Tetapi kerana
gemilangnya Khalid sebagai ahli siasat perang, kekalahan-kekalahan telah
ditukarnya menjadi satu kemenangan. Dia mencari lubang-lubang kelemahan
pertahanan orang Islam.
Hanya pahlawan Khalid
lah yang dapat mencari saat-saat kelemahan lawannya. Dan dia pula yang sanggup
menarik kembali tentera yang telah bercerai-berai dan memaksanya untuk
bertempur lagi. Seni perangnya yang luar biasa inilah yang mengungkap kekalahan
Uhud menjadi suatu kemenangan bagi orang Quraisy, ditambah lagi dengan keadaan
beberapa pahlawan Islam ketika itu yang kelabu mata dengan harta benda dunia.
Islamnya Khalid bin
Al-Walid
Ketika Perjanjian
Hudaibiyah, Khalid memeluk Islam dan memohon maaf kepada nabi Muhammad atas
tindakan beliau sebelum ini. Rasulullah sangat suka sekali, kerana Khalid
mempunyai kemampuan berperang yang dapat digunakan untuk membela Islam dan
meninggikan kalimatullah dengan perjuangan jihad. Dalam banyak kesempatan
peperangan Islam, Khalid bin Walid diangkat menjadi komandan perang dan
menunjukkan hasil gemilang atas segala upaya jihadnya.
Khalid AlWalid digelar
sebagai Saifullah al-Maslul (bermaksud Pedang Allah yang terhunus atau
Pedang Allah). Beliau bukan sahaja berperang di zaman Rasulullah s.a.w, tetapi
juga di zaman khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Pencapaian
terulung ialah dimana beliau berjaya mengalahkan pasukan Byzantine dan Parsi
dalam masa tiga tahun sahaja.
Perjuangan Khalid
dalam Islam
Khalid Al-walid seorang yang sangat berani dalam perang, tidak takutkan mati. |
Dalam Perang
Muktah, tentera Islam yang sedikit bilangannya telah berdepan dengan lebih
kurang 200,000 orang tentera Rom. Dalam pertempuran tersebut, tentera Islam
telah mendapat tentangan yang cukup dasyat nyaris-nyaris menerima kekalahan.
Bendera Islam telah dipegang oleh Zaid b Harithah yang kemudiannya gugur
syahid, diambilalih pula oleh Jaafar bin Abu Thalib. Beliau turut syahid, maka
bendera tadi dipegang oleh Abdullah bin Rawahah yang juga gugur sebagai
syuhada'. Lantas bendera bertukar tangan kepada Thabit bin Arqam dan
menyerahkannya kepada Khalid al-Walid. Atas persetujuan ramai, maka Khalid
al-Walid pun menjadi komandan perang dan terus mengarahkan tentera Islam
berundur ke Madinah kerana sudah terlalu ramai yang syahid dan tentera yang
tinggal tidak mampu untuk bertahan lagi.
Di zaman Khalifah Abu
Bakar, Khalid ditugaskan untuk menghapuskan golongan murtad. Saidina Abu Bakar
telah memberi pidato semangat kepada tentera Islam yang antara lainnya berbunyi
:"Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : "Sebaik-baik hamba
Allah dan saudara dalam satu suku iaitu Khalid bin Al-Walid, Saifullah, yang
pedangnya akan dihayunkan kepada orang-orang kafir dan munafik"
Beliau juga ditugaskan
untuk membunuh Musailamah Al-Kazzab yang mengaku sebagai nabi dan mempunyai
ramai pengikutnya. Dalam peperangan tersebut (Perang Yamamah), ramai tentera
Islam yang terkorban. Khalid All-Walid sebagai pahlawan sejati yang pakar dalam
strategi peperangan telah berjaya memberi semangat baru kepada tenteranya
dengan ucapannya yang penuh karisma. Beliau berteriak kepada tenteranya :
"Bergembiralah kerana kami akan melihat setiap orang akan mengalami
bencana masing-masing"
Dalam Perang
Yarmuk menentang tentera Rom, beliau telah berjumpa dengan panglima
musuh yang bernama Mahan yang dengan angkuhnya merendah-rendahkan moral tentera
Islam. Mahan telah berkata : "Aku tahu kamu semua meninggalkan tanah air
kerana terpaksa dan kelaparan. Jika kamu semua setuju, aku akan berikan setiap
seorang tentera 10 dinar beserta dengan pakaian dan makanan dengan syarat
mereka berangkat pulang dan tahun depan jumlah yang serupa akan dihantar ke
Madinah".
Khalid bin Al-Walid
dengan tegasnya menjawab : "Kami tidak akan keluar dari negeri kami kerana
kelaparan seperti yang engkau sangkakan. Tetapi kami ialah satu kaum yang suka
minum darah dan kami tahu tidak ada darah yang lebih lazat dan nikmat seperti
darah orang Romawi, sebab itulah kami ke mari"
Setelah itu, Khalid
Al-Walid selaku komandan perang berteriak dengan kuatnya sambil bertakbir
"Allahu Akbar!" "Marilah kita berebut-rebut mencium bau
Syurga!". Maka terjadilah peperangan yang amat dahsyat. Anak panah
bersimpang siur dan mayat bergelimpangan.
Tiba-tiba seorang
tentera Islam menghampiri Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a.sambil berkata :
"Sesungguhnya aku bercita-cita untuk mati syahid, adakah engkau mempunyai
sebarang pesanan yang hendak disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, kelak aku
akan sampaikan kepada baginda ketika aku berjumpanya (di Syurga)"
Jawab Abu Ubaidah bin
al-Jarrah r.a : "Ya ! Katakan kepadanya : "Wahai Rasulullah s.a.w !
Sesungguhnya kami telah dapati bahawa apa yang dijanjikan oleh Tuhan Kami
(Allah) adalah benar". Lalu tentera tadi bertempur dengan hebatnya dan
gugur sebagai syuhada'.
Dalam suasana perang
tersebut Khalid al-Walid bersemuka dengan seorang daripada panglima Romawi yang
bernama George lalu terjadilah dialog antara keduanya.
George bertanya
: "Wahai Khalid, hendaklah kamu berkata benar kerana setiap orang
yang merdeka tidak akan berbohong. Apakah benar bahawa Tuhanmu telah menurunkan
kepada Nabimu sebilah pedang dari langit lalu diberikan kepadamu dan kalau
dihayunkan kepada seseorang pasti dia akan kalah"
Khalid bin Al-Walid
menjawab : "Tidak"
George bertanya lagi :
"Mengapa kamu disebut Pedang Allah?"
Khalid bin Al-Walid
berkata : "Bahawa Allah s.w.t telah mengutuskan kepada kami seorang Rasul
dari bangsa kami, tetapi ada yang mempercayainya dan ada yang mendustanya. Aku
sendiri termasuk dari kalangan orang yang mendustakannya tetapi Allah telah membuka
hatiku kepada Islam. Lalu aku mengadap Rasulullah untuk memeluk Islam dan janji
setia kepadanya. Rasulullah terus menyatakan : "Engkau adalah sebilah
pedang dari pedang Allah"
George bertanya lagi :
"Apa yang kamu dakwahkan kepada manusia"
Khalid bin Al-Walid
menjelaskan : "Supaya mereka mentauhidkan Allah dan menerima ajaran
Islam"
George seterusnya
berkata : "Jika seseorang memeluk Islam sekarang seperti apa yang telah
berlaku kepadamu, adakah dia akan mendapat ganjaran?"
Khalid bin Al-Walid
menjawab : "Ya, itulah yang lebih utama"
George berkata :
"Bagaimana yang terjadi kepadamu sebelum Islam?"
Khalid bin Al-Walid
menjawab : "Kami hidup bersama Rasul lalu kami lihat tanda-tanda kenabian
serta mukjizatnya. Kami benar-benar melihat dan mendengarnya, lalu kami memeluk
Islam dengan mudah. Tetapi kamu tidak pernah melihat dan mendengarnya, kiranya
kamu beriman dengan apa yang tidak kelihatan, maka ganjaranmu adalah lebih
besar jika kamu beriman kepada Allah dengan jiwamu."
Akhirnya George telah
mengucap syahadah di hadapan Khalid, belajar cara solat dan sempat solat dua
rakaat. Kemudian beliau adalah seorang syuhada' perang Yarmuk............. !!!
dan tentera Islam berjaya menumbangkan tentera Rom yang berjumlah 240,000
orang.
Betapa pun hebatnya
Khalid bin Walid di dalam medan pertempuran, dengan berbagai luka yang
diterimanya, namun ternyata kematiannya adalah di atas katil. Betapa
menyesalnya Khalid harapan untuk mati syahid di medan perang ternyata tidak
tercapai dan Allah menghendakinya mati di atas tempat tidur, sesudah perjuangan
membela Islam yang luar biasa itu. Demikianlah kekuasaan Allah. Manusia berasal
dari Allah dan akan kembali kepada-Nya sesuai dengan kemahuan-Nya.
sumber: carian Google
No comments:
Post a Comment