Kedua-dua
ibadah ini (Qurban Dan Aqiqah) adalah antara amalan mulia dan penting dalam Islam kerana amat besar
fadhilatnya, tetapi malangnya masih ramai orang yang samar-samar atau kabur
kefahaman menerka mengenainya, sehinggakan ada yang memandang ringan walaupun
mempunyai kemampuan tetapi tidak mahu melakukan penyembelihan qorban dan aqiqah
ini.
Apakah sebenarnya qurban dan aqiqah
itu? Apakah hukum melakukannya? Berapa kali kita dituntut melakukan qurban sepanjang
hayat kita? Apakah syarat-syarat
binatang yang dikorbankan? Apakah perbezaan antara qurban dan aqiqah? Bolehkah
seekor lembu dikongsi sebahagian untuk qurban dan sebahaian untuk aqiqah?
Apakah hikmah atau faedah yang bakal diperolehi kerana melakukan kedua-dua
ibadah itu?
Demikianlah antara
persoalan yang akan cuba kita kupas serta perjelaskan dan
disamping itu akan dijelaskan beberapa perkara berkaitan dengan ibadah kurban
dan aqiqah, semoga memberi kefahaman yang jelas hingga kita dapat menghayatinya
dengan penuh keimanan kerana menjunjung perintah Allah s.w.t. dan mendapat fadhilat daripada
amalan yang akan kita lakukan ini.
PENYEMBELIHAN
QURBAN
Qurban ialah penyembelihan binatang qurban yang dilakukan pada Hari Raya Haji
(selepas solat 'Idil Adhha) dan hari-hari Tasyriq iaitu ,11,12 dan 13 Zulhijjah
kerana beribadah kepada Allah s.w.t. ,
iaitu sebagai menghidupkan syariat Nabi Allah Ibrahim a.s. yang kemudiannya
disyariatkan kepada Nabi
Muhammad s.a.w.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan telah Kami jadikan
unta-unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang
banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam
keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka
makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada
padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami
telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu
bersyukur."
(surah al-Haj:36)
"Maka
dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah."
(Surah al-Kauthar:2)
Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh
manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada
menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat
kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan
kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia
(pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan
(pahala) qurban itu."
(Riwayat
al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Zaid bin Arqam berkata:
"Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab: "Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi
Ibrahim."Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dengan tiap-tiap helai bulu
satu kebaikan." Mereka
bertanya: "maka bulu yang halus pula? Rasullullah
s.a.w bersabda yang bermaksud "Dengan tiap-tiap helai bulu
yang halus itu satu kebaikan." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
HUKUM MELAKSANAKAN QURBAN
Hukumnya Sunnat
Muakkad (Sunnat yang
dikuatkan) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
§ Islam
§ Merdeka (Bukan hamba)
§ Baligh lagi berakal
§ Mampu untuk berqurban
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:
"Aku disuruh berqurban
dan ia sunnat bagi kau."
(Riwayat al-Turmuzi).
"Telah diwajibkan
kepada ku qurban dan tidak wajib bagi kamu."
(Riwayat Daruqutni)
Walaupun hukum berqurban itu sunnat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika
dinazarkan. Sabda Rasullullah
s.a.w yang bermaksud:
"Sesiapa yang bernazar untuk
melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya."
(Sila Rujuk: Fiqh al-Sunnah)
PERLAKSANAAN QURBAN
·
Binatang yang
diqurbankan daripada jenis unta, lembu atau kerbau, kambing biasa yang berumur
dua tahun, jika biri-biri telah berumur satu tahun atau telah gugur giginya
sesudah enam bulan meskipun belum cukup satu tahun.
·
Binatang itu
disyaratkan tidak cacat, tidak buta sebelah atau kedua-duanya, kakinya tidak
pincang, tidak terlalu kurus, tidak terpotong lidahnya, tidak mengandung atau
baru melahirkan anak, tidak berpenyakit atau berkudis. Binatang yang hendak
disembelih itu mestilah sihat sehingga kita sayang kepadanya.
·
Waktu
menyembelihnya sesudah terbit matahari pada Hari Raya Haji dan sesudah selesai
solat 'Id dan dua khutbah pendek, tetapi afdhalnya ialah ketika matahari naik
segalah pada Hari Raya Hhaji sehingga tiga hari sesuadah Hari Raya Haji (hari-hari
Tastriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah)
·
Daging qurban
sunnat, orang yang berkorban disunnatkan memakan sedikit daging qurbannya.
Pembahagian daging qurban sunnat terdapat tiga cara yang utamanya adalah
mengikut urutan sepererti berikut:
- Lebih utama orang yang berqurban mengambil hati binatang qurbannya dan baki seluruh dagingnya disedekahkan.
- Orang yang berqurban itu mengambil satu pertiga daripada jumlah daging qurban, dua pertiga lagi disedekahkannya.
- Orang yang berqurban mengambil satu pertiga daripada jumlah daging, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada orang yang mampu. Sabda Rasullullah s.a.w: "Makanlah oleh kamu sedekahkanlah dan simpanlah."
HIKMAH DAN FADHILAT
·
Menghidupkan
sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s.
·
Mendidik jiwa
kearah takwa dan mendekatkan diri kepada Allah
s.w.t.
·
Mengikis sifat
tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta kejalan Allah s.w.t.
·
Menghapuskan
dosa dan mengharap keredhaan Allah
s.w.t.
·
Menjalinkan
hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara golongan berada dengan
golongan yang kurang bernasib baik.
·
Akan
memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim
diakhirat kelak. Sabda Nabi
Muhammad s.a.w. yang
bermaksud: "Muliakanlah
qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu dititian pada hari kiamat."
AQIQAH UNTUK ANAK
Pengertian aqiqah dari segi bahasa ialah rambut
dikepala kanak-kanak.
Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari
mencukur rambut bayi. Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan
oleh Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud:
"Setiap anak yang lahir
itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari
ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama."
(Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan
Ibnu Majah)
Ibnu Majah menerangkan maksud "... terpelihara dengan aqiqahnya..."
(pada mafhum hadis diatas) adalah bahawa
aqiqah itu sebagai sebab yang melepaskan kanak-kanak tersebut daripada gangguan
syaitan yang cuba menghilangkan daripadanya melakukan kebaikan.
Daripada Salman bin Amir al-Dhabley, bahawa Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda yang
bermaksud: "Untuk anak
lelaki itu aqiqahnya. Tumpahkan atasnya darah dan hilangkanlah daripadanya
kekotoran dan najis."
(Riwayat
Abu Daqud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah).
Menurut Imam Ahmad bin Hambal, bahawa apabila seseorang kanak-kanak itu mati
dalam keadaan belum diaqiqahkan lagi, maka anak itu tidak dapat mensyafaatkan
kedua-dua orang tuanya diakhirat kelak.
HUKUM
AQIQAH
§ Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban
iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
§ Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari
kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak
dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.
§ Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas
walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk
dirinya sendiri.
Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan
al-Tabrani, bahawa Rasulullah
s.a.w. pernah mengaqiqahkan
dirinya sendiri sesudah Baginda
s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
§ Anak zina, aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah
hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Syaikh
Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah
tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah
kepadanya.
§ Anak lelai disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah
sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.
Diriwayatkan
daripada Aisyah, bahawa Rasulullah
s.a.w.memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki
dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing.
(Riwayat al-Turmuzi).
Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan
Husin masing-masing dengan seekor kambing.
(Riwayat Abu Dawud)
HUKUM-HUKUM YANG LAIN BERKAITAN DENGAN QURBAN DAN AQIQAH
Jika
menyembelih qurban sendiri hendaklah berniat: "Aku
jadikan binatang ini qurban untuk diriku kerana Allah Ta'ala" dan seumpamanya, atau jika
penyembelihan aqiqah berniat : "Aku
jadikan penyembelihan binatang ini sebagai aqiqah untuk anakku kerana Allah Ta'ala."
Jika untuk
tolong kepada orang lain maka hendaklah berakad iaitu dengan dua cara:
1) Secara wakil, maka orang yang mewakilkan berkata:
"Aku wakilkan atas diriku
untuk menghasilkan penyembelihan qurban untuk diriku (atau aqiqah untuk anak
ku...)."
Orang yang
menerima wakil menjawab:
"Aku
terima sebagai wakil untuk menghasilkan penyembelihan qurban untukmu (atau
aqiqah untuk anakmu...)."
(PERINGATAN: Orang yang menerima wakil hendaklah
melaksanakan penyembelihan dan tidak boleh diserahkan tanggungjawab menyembelih
kepada orang lain).
2) Secara menyerahkan tanggungan dengan berkata: "Saya meletakkan atas zimmah
tanggungan tuan untuk menghasilkan penyembelihan qurban untuk ku (atau aqiqah
untuk anakku)."
(PERINGATAN: Penerima
jika tidak dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diterima, boleh diserahkan
kepada orang lain untuk menyempurnakan penyembelihan untuk orang-orang yang
berakad tadi).
o
Daging qurban
sunnat disedekahkan kepada fakir miskin atau dihadiahkan kepada orang yang
mampu dalam bentuk masih mentah tetapi aqiqah sunnat dimasak dengan masakan
jenis manis seperti kurma, kicap dan sebagainya.
o
Binatang unta,
lembu atau kerbau boleh dikongsi sebhagian untuk qurban dansebahagian untuk
aqiqah.
o Disunnatkan
tulang-tulang binatang qurban itu tidak dipatahkan ataudipecahkan sama ada
oleh orang yang mengaqiqahkan atau yang memakannya. Cuma hendaklah diceraikan
pada setiap persendian tulang. Sekiranya dipecahkan juga maka tidaklah pula
makruh, tetapi khilaf aula (yakni bersalahan dengan yang utama).
o
Daging aqiqah
atau qurban atau mana-mana bahagian dari binatang (seperti kulit, tulang dan
sebagainya) tidak boleh dijadikan upah kepada orang yang menyembelih dan
orang-orang yang menguruskan pemotongan. Upah untuk mereka jika diperlukan,
maka hendaklah diberi dalam bentuk wang atau harta benda yang lainnya.
o Orang kafir
tidak boleh diberi makan daging aiqah atau daging qurban, sekiranya telah
diberi umpamanya sekilo, maka wajib diganti dengan daging yang lain untuk
memenuhi daging yang kurang itu.
o
Daging atau
mana-mana bahagian dari binatang qurban nazar atau aqiqah, haram dimakan atau
diambil oleh orang yang melakukannya.
QURBAN DAN AQIQAH BERAMAI-RAMAI
Sekarang ini ada pihak tertentu seperti Masjid, Surau atau badan kebajikan dan
orang perseorangan menganjurkan majlis Qurban dan Aqiqah secara beramai-ramai.
Pada dasarnya amalan ini baik demi menggalakkan masyarakat Islam melakukan
kedua-dua ibadah yang sangat dituntut dalam Islam (Sunnat Muakkad). Namun yang demikian, beberapa
syarat berikut ini hendaklah dipatuhi:
§ Pengurusan hendaklah dilakukan dengan betul, dengan
penuh amanah dan tanggungjawab.
§ Hendaklah diadakan aqad atau ijab dan qabul antara
orang yang melakukan qurban atau aqiqah dengan pihak pelaksana (AJK Qurban/
Aqiqah atau AJK Masjid/ Surau/ Badan Kebajikan/ Orang perseorangan).
Sumber: http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/qurbandanaqiqah.htm
No comments:
Post a Comment